Rangka strategi atasi impak El Nino

Sinar Harian

21 Jun 2014

  • Yusoff (kiri) mengiringi Fakharudin (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai padi jenis Aerob daripada wakil Mardi.Yusoff (kiri) mengiringi Fakharudin (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai padi jenis Aerob daripada wakil Mardi.
 1 / 1 

PEKAN – El Nino cabaran utama kepada pesawah di mana padi mengering dan mati kerana ketiadaan air termasuk kegagalan menyediakan bekalan secukupnya berikutan paras air Sungai Pahang menjadi cetek dan tidak dapat dipam ke petak sawah.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Mohd Yusoff Sadi Sutan berkata, aduan yang diterima tidak mampu diselesaikan sepenuhnya kerana faktor semula jadi tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, seluruh negara ini mengalami impak El Nino yang dijangka berlaku sehingga Ogos depan di mana kebanyakan kawasan akan menerima purata hujan lebih rendah berbanding paras purata bulan ini.

“Sehubungan itu, IADA mengatur strategi sebagai langkah awal menangani masalah tersebut di mana pihak kami telah menasihatkan petani di lebih 400 hektar kawasan sawah padi agar tidak menanam pada musim ini.

“Antara kawasan terlibat ialah Skim Pahang Tua yang meliputi Blok 4B (U), 7A, 8B, 9B dan sebahagian kawasan Blok 1C, Skim Paya Serandu, Pulau Tambun, Ganchong Hulu, Pulau Rusa dan Kampung Telok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Bertemu Pelanggan anjuran IADA di perkarangan Pejabat Pengarah IADA Pekan, Kompleks Perkhidmatan Pertanian Tanah Putih, di sini.

Hadir sama, Adun Bebar, Mohammad Fakharudin Mohd Ariff yang sempat melawat pameran yang disediakan dan meninjau permasalahan berkaitan petani dan paya sawah padi.

Mohd Yusoff berkata, setakat ini petani di 104 hektar kawasan memberi respons untuk tidak menanam pada musim ini manakala bagi kawasan Merchong, penanaman musim utama memerlukan perancangan rapi kerana bergantung sepenuhnya kepada hujan.

Katanya, pihaknya mencadangkan pesawah menanam padi Aerob iaitu jenis padi terbaru yang diperkenalkan Mardi.

“Padi ini dihasilkan khusus untuk kawasan yang menghadapi masalah bekalan air.

“IADA turut meminta pihak Mardi mengkaji kesesuaian padi Aerob di kawasan Skim Merchong yang seperti diketahui masih belum dibangunkan dan tidak mempunyai kemudahan infra,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Mardi Pahang yang memberi kerjasama baik kepada IADA Pekan melalui penyediaan kursus, pameran serta tinjauan teknikal ke kawasan paya berkenaan.