Petani kecewa usaha tertangguh

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2014

PAHANG TUA – Keadaan tanah sawah milik kira-kira 20 petani yang masih belum dibajak sehingga kini jelas gagal mengikut jadual yang disediakan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan.


Seorang petani, Razali Abu Bakar, 37, berkata, sawah seluas 20 hektar yang terbiar walaupun tempoh membajak telah berakhir bulan Februari lalu memusnahkan tekad mereka yang terlibat.

Menurutnya, paya yang terlibat ialah di blok dua dan blok lima di mana perancangan kerja-kerja berkaitan tanaman padi terbantut begitu tanpa sebarang penyelesaian sempurna.

“Apabila ditanya, jawapan mereka cukup mudah iaitu semua mesin bajak rosak sedangkan kami difahamkan sebanyak 11 buah mesin disediakan bagi kerja-kerja membajak.

“Saya sendiri telah membuat bayaran bagi kerja membajak yang diuruskan oleh pihak Pasfa walaupun ramai di antara kami yang meragui status pembayaran awal yang perlu dibuat sebelum sebarang kerja dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Razali berkata, dia telah membayar RM100-RM150 bagi setiap ekar sawah yang ingin diusahakan namun semuanya sia-sia apabila sasaran yang dibuat gagal dicapai ekoran kerja-kerja separuh jalan pihak berkenaan.

Terpaksa keluar perbelanjaan besar

Seorang lagi petani, Jamaludin Ismail, 45, berkata, masalah pengaliran air yang kritikal jelas dihadapi kini sehingga menyebabkan anak padi terbantut serta tidak menjadi selain kawasan tanaman yang terbiar kering begitu sahaja.

Menurutnya, air merupakan satu lagi masalah besar yang dihadapi di mana keperluan utama tanaman ini gagal dibekalkan dengan sempurna berikutan empat buah pam yang sedia ada tidak mampu menampung tugas menyalurkan air secara keseluruhan.

“Kelemahan ini menyebabkan saya dan petani lain terpaksa mengeluarkan belanja besar bagi membeli pam yang bernilai ribuan ringgit seunit selain petrol yang digunakan mencecah RM100 sehari.

“Saya sendiri menggunakan tiga buah pam bagi menyalurkan air secara bergilir ke setiap petak sawah yang diusahakan dan bayangkan berapa banyak kos terpaksa dikeluarkan setiap hari,” katanya.Menurutnya, pelbagai cara alternatif terpaksa difikirkan seperti memasang sprinkler atau sistem semburan air automatik bagi memastikan anak padi yang mula tumbuh dapat hidup dengan bekalan air mencukupi.

“Bagi petani yang kurang berkemampuan, paya mereka dilihat terus terbiar dan dipenuhi rumput menerong sekali gus melenyapkan impian untuk memperoleh hasil tanaman dua kali setahun seperti yang dicanang.

“Lebih malang lagi, kegembiraan petani melihat anak padi mereka mula galak tumbuh berakhir apabila tanaman yang baru berusia sebulan mula menguning akibat kekeringan dan seterusnya mati,” katanya.

Jamaludin berkata, perancangan pada tahun ini untuk mengusahakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun tidak berjaya dicapai dan berharap agar kelemahan yang diadukan mendapat respon dan tindakan pihak berkaitan.

Masalah bekalan air berlarutan

“Sudah banyak persoalan dan sekian lama petani di sini ajukan mengenai masalah perairan yang timbul melibatkan kawasan seluas 1,225 hektar sawah padi di kawasan ini namun ia masih gagal diatasi.

“Saya pernah bertanya kepada pihak berkaitan mengenai fungsi empat pam besar di skim ini yang masih tidak mampu menyalurkan bekalan air dengan sempurna namun jawapan yang diterima hanyalah ‘pam rosak’,” katanya.

Menurutnya, masalah tersebut perlu diberi perhatian yang baik oleh pihak berkaitan bagi mengelak ia terus menjadi kesusahan atau bebanan kepada petani yang bergantung pada hasil sawah padi sebagai punca pendapatan.

“Masalah seperti ketahanan longkang serta sistem pengairan sawah padi di sini adalah antara soalan yang kerap diajukan petani dan kami hanya menerima janji-janji untuk menyelesaikannya.

“Usaha untuk memperbaiki dan memperbetulkan sebarang kelemahan masih tiada sedangkan ia memberi harapan kepada petani yang mengimpikan peningkatan hasil tuaian daripada dua tan sehektar kepada lima tan sehektar direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IADA Pekan, Mohd Yusoff Sadi Sutan yang ditemui Sinar Harian berkata, aduan berkaitan permasalahan yang melanda kelompok kecil petani di skim paya Pahang Tua ini telah diterima dan pihaknya akan memberi penerangan lengkap mengenai kesulitan yang berlaku dalam akhbar keluaran esok.