Anak Dan Isteri Maut

WARTAWAN SINAR HARIAN

7 April 2014

PEKAN – Seorang anggota polis terpaksa menerima takdir pilu apabila isteri dan anaknya terkorban dalam kemalangan melibatkan mereka sekeluarga pada jam 7.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian di Kilometer 72 Jalan Kuantan-Segamat itu, Lans Koperal Marzuki Che Othman, 30-an yang juga pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan di pipi dan telinga kiri.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan pulang ke Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5, Simpang Renggam, Kluang Johor dari kampung halaman  di Durian Burung, Kuala Terengganu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya ketika tiba di tempat kejadian sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka sekeluarga berpusing selepas terbabas ketika memotong dan dilanggar di bahagian kiri lori yang tiba di tempat kejadian.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan anak tunggal pemandu Nurdamia Hanan berusia setahun yang duduk di bahagian belakang bersama isterinya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahaya berkata, isteri pemandu, Maziah Jusoh, 27, yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah namun disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan.

Menurutnya, pemandu lori berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.